Friday, April 27, 2012

INSTITUSI DAN SISTEM EKONOMI ISLAM DI MALAYSIA




Institusi perbankan pertama sekali di Malaysia ialah ‘The Chartered Merchant Bank of India, London and China‘ yang telah ditubuhkan oleh penjajah Inggeris pada tahun 1859. Bank ini diwujudkan untuk membiayai aktiviti perlombongan dan perindustrian serta menawarkan beberapa kemudahan kewangan bagi perdagangan antarabangsa serta kemudahan lain pada masa itu.[xiii] Namun, ketika itu masih belum wujud satu institusi yang khusus mengaplikasikan konsep sistem perbankan Islam di Malaysia.



Idea penubuhan perbankan Islam di Malaysia berlangsung secara beransur-ansur. Penubuhannya adalah hasil daripada pengalaman yang dilalui oleh beberapa institusi kewangan Islam lain di Malaysia.[xiv] Institusi yang pertama sekali yang mengamalkan konsep transaksi Islam ialah Lembaga Tabung Haji (LTH) atau sebelum ini dikenali sebagai Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji.[xv] Ia ditubuhkan pada tahun 1969 dan berfungsi untuk membolehkan orang-orang Islam menyimpan wang secara beransur-ansur bagi memenuhi perbelanjaan menunaikan fardhu haji dan melibatkan diri dalam bidang penanaman modal dalam lapangan perusahaan, perdagangan, perladangan dan hartanah melalui cara yang halal di sisi Islam.[xvi]



Seterusnya, ekoran daripada kejayaan penubuhan bank-bank Islam di beberapa buah negara seperti di Qatar, Mesir, Pakistan dan Iran, umat Islam di Malaysia juga telah menyuarakan hasrat supaya bank Islam ditubuhkan di negara ini.[xvii] Malah penulis berpandangan perkembangan perbankan Islam pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 adalah kesan daripada proses islamisasi yang berlaku hasil daripada tokoh-tokoh reformis Islam[xviii] ketika itu yang memberi impak kepada masyarakat Islam untuk mengamalkan ajaran Islam secara total dalam kehidupan mereka meliputi soal politik, sosial dan ekonomi.[xix] Maka kerana itulah juga wujud gelombang pembaharuan dikalangan umat Islam untuk menubuhkan satu sistem perbankan Islam.



Oleh itu di Malaysia, beberapa pihak telah menyeru kerajaan menubuhkan sebuah bank Islam dan meminta kerajaan mengambil tindakan segera menggubal undang-undang bagi membolehkan penubuhan bank dan institusi kewangan yang beroperasi berlandaskan prinsip Islam.[xx] Maka pada 30 Julai 1981, kerajaan telah melantik Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bank Islam (National Steering Committee) yang dipengerusikan oleh YM Raja Tan Sri Mohar bin Raja Badiozaman dan LTH dilantik sebagai urusetia.[xxi]



Pada bulan Julai 1982, Jawatankuasa tersebut telah menyerahkan laporan mereka kepada kerajaan. Disamping mencadangkan satu kerangka asas untuk sistem perbankan Islam di Malaysia, ia juga membuat beberapa cadangan untuk pelesenan dan penyeliaan serta pengawasan sebuah bank Islam.[xxii]Akhirnya bagi membuka jalan untuk penubuhan bank Islam di Malaysia, kerajaan telah meluluskan Akta Bank Islam 1983 (ABI)[xxiii] dan mula berkuatkuasa pada 7 April 1983.[xxiv]



Dengan penggubalan Akta Bank Islam 1983, maka Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah ditubuhkan pada Julai 1983 sebagai bank Islam pertama di Malaysia dan diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965.[xxv] Objektif utama penubuhannya ialah untuk berusaha menjalankan operasi sebagai bank perdagangan berlandaskan hukum Syarak dan menyediakan kemudahan kepada semua rakyat negara ini.[xxvi] Seperti bank-bank lain, Bank Negara Malaysia (BNM) diberi kuasa di bawah Akta Bank Islam untuk mengawal selia bank Islam.



Sejajar prinsip dan matlamat BNM untuk merealisasikan sistem perbankan Islam di seluruh Malaysia, Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF) telah diperkenalkan pada Mac 1993. Melalui skim ini, institusi perbankan konvensional dibenar menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam dengan menggunakan prasarana yang sedia ada termasuk kakitangan dan cawangan.[xxvii] Buat permulaan, skim ini dianggap satu perintis yang melibatkan tiga buah bank.[xxviii]



Pada tahun 1998, BNM telah menjalankan satu kajian semula terhadap perbankan Islam dan mendapati penggunaan istilah “SPTF” tidak mencerminkan penampilan sebenar operasi perbankan Islam yang dilaksanakan oleh institusi perbankan. Oleh itu BNM telah menggantikan istilah “SPTF” dengan “Skim Perbankan Islam (SPI)” berkuatkuasa 1 Disember 1998.[xxix] Perkembangan sistem perbankan Islam semakin berkembang apabila pada 1 Oktober 1999, sebuah lagi bank Islam bernama Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB)[xxx] ditubuhkan. Ia dianggap sebagai bank Islam kedua di Malaysia muncul setelah adanya usaha kerajaan untuk memperkukuhkan sektor perbankan Islam bagi memenuhi pertambahan permintaan masyarakat terhadap perkhidmatan perbankan Islam.[xxxi]



Dapatlah dirumuskan di sini bahawa perkembangan sistem perbankan Islam di Malaysia adalah berdasarkan dua bentuk utama iaitu institusi perbankan Islam secara total seperti BIMB dan BMMB dan yang kedua ialah institusi perbankan konvensional yang menyertai SPI yang diperkenalkan kerajaan.[xxxii]Apa yang jelas, sistem perbankan Islam di Malaysia semakin berkembang daripada masa ke semasa. Ini juga selaraskan dengan aspirasi kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai hubung perbankan dan kewangan Islam yang terulung di dunia.


No comments:

BUKU BACAAN TERBAIK